saya tak sedar kewujudannya. saya tak pasti bila dia mula berada di situ. yang saya tahu, saya mula terpandang dia ada di situ bila tiap kali saya ajukan soalan, dia yang pertama akan mengangkat tangannya. hingga adakalanya saya bersuara, "dah tak ada orang lain ke? yang lain ni hantu ke? tunggul kayu ke?" dan dia hanya tersengih di situ, di tempat duduknya, di barisan paling belakang. dan kebiasaannya, jawapan yang diberikan betul, walau kadangkala perlu diperbetulkan sedikit, dia tak pernah serik. jadi, tak hairan kalau ada teman-teman sekelas memanggilnya "prof".
tiba saat yang ditunggu-tunggu .... PROGRAM NILAM. aisey, seperti mana murid-murid, maka begitu jugalah dengan sang guru. lemah lutut bila masuk bab nilam ni. ramai yang suka membaca tapi tak suka mencatatnya. maka, seperti biasa "upacara mendera" dijalankan. beberapa orang pelajar dipilih dalam kelas itu untuk "didera". termasuklah dia.
ada garis resah di wajahnya. mungkin stress yang mula menunjukkan diri. ye lah, mana nak tusyen lagi ... homework yang menimbun yang perlu dibereskan lagi ... dan bertambah pulak dengan "deraan".
saya bekalkan dia dengan buku-buku cerita yang saya beli sendiri (pinjam ... hilang kena ganti 10!!!). waktu itu di pusat sumber buku-bukunya agak membosankan (sangat bosan!!!)
awalnya, dia agak lambat untuk menghabiskan sebuah buku. dia ambil masa yang panjang. tak mengapalah, asalkan dia sanggup di dera. waktu itu, memang tinggal dia seorang yang saya dera. yang lain sudah angkat bendera putih.

tiba suatu hari, waktu itu saya sedang sibuk menanda buku di depan kelas. pelajar-pelajar telah diberikan tugasan untuk di siapkan pada waktu itu, dia ke depan dan bersuara,
"cikgu, cikgu beli buku ni kat mana? boleh tak kalau saya beli buku ni daripada cikgu?"
"kenapa?" tanya saya pendek.
"saya suka buku ni lah cikgu, ceritanya best"
"tak boleh ..." tanpa memandangnya, saya teruskan kerja menanda yang terbengkalai tadi.
tapi saya tahu, dia kecewa dengan jawapan saya..
pulang dari sekolah hari itu, saya singgah ke kedai buku, saya tanyakan buku itu pada Liza, dan Liza tunjukkan pada saya, tinggal 3 buah lagi.
esoknya, waktu di kelas, saya panggil dia. dan saya serahkan buku itu padanya. "hadiah untuk awak" ada senyum terukir di wajahnya. saya tahu dia terkejut, tak sangka saya sanggup belikan buku itu untuk dia. ucapan terima kasih berkali-kali terucap dari bibirnya
sehari selepas itu, dia berjumpa saya, "cikgu, mak saya pun suka buku tu cikgu". saya tersenyum.
terima ALLAH, kerana menggerakkan saya untuk membeli buku-buku seperti itu. terima kasih ALLAH, kerana mengilhamkan pada puan Ainon (PTS.COM.MY) untuk menerbitkan buku-buku alaf baru untuk remaja. jalan cerita yang lebih menarik dan terkini. terima kasih ALLAH, kerana menemukan saya dengan Liza, staff di MPH yang mempromosikan buku itu untuk saya. hingga kini, kami masih rapat. kalau ada buku-buku pts yang baru, dia akan hubungi saya ... dia tahu ... saya akan memborongnya ... hingga adakalanya saya terpaksa membawa senarai pendek judul buku-buku yang hendak di beli (beli barang dapur pun tak sebegini).
sesuatu yang menarik tentang dia? ya dia istimewa ... hasil penderaan itu mula menampakkan diri, suatu hari. saya minta pelajar-pelajar saya di kelas itu menulis karangan. saya lupa tajuknya. tapi itu karangan jenis cerita ... yang mana akhirnya lebih kurang begini ...
" .... air mata kegembiraan mengalir dari wajah tua ibu. aku berjanji tidak akan menghampakan harapannya lagi"
bila buku karangan itu diserahkan kepada saya, saya dilanda kebosanan yang melampau, kenapa?
ya ... rata-rata pelajar menulis pendahuluan mereka begini,
"pada hujung minggu yang lalu .... " atau pun begini,
"pada hari sabtu yang lepas ..."
maka tulisan-tulisan mereka saya pandang sepintas lalu ... membaca pendahuluannya saya sudah dapat agak apa isi karangan tersebut.
tapi berlainan dengan yang satu ini ....
"jantungku berdegup kencang, peluh jantan menitik laju. aku resah, aku gelisah. mata tak dapat ku pejam .... "
tatkala membaca ayat-ayat itu terdetik di hati, "budak ni gila ke apa? aku suruh buat lain, dia buat lain" hati saya mulai panas. tanpa saya sedar, kegilaannya itu membuatkan saya rasa ingin terus membaca karangan tulisannya ... lagi ... dan lagi ... dan lagi ... ye lah, walau geram ... ada daya tarikan di situ.
rupa-rupanya ... dia menulis cerita tentang perasaannya saat bakal menerima keputusan PMR ... jalan cerita yang ringkas ... tapi pendahuluan si gila yang membuatkan sang guru terus ditarik dan ditarik untuk membaca tulisannya ...
bahasa dan penulisannya menunjukkan dia punya kosa kata yang luas ... kenapa? ya ... kerana dia banyak membaca ....
ya tuhan, akan adakah seorang lagi amirul yang boleh saya dera???